Friday, 15 April 2011

Sekadar Untuk Berkongsi Bersama di hari Jumaat Yang Mulia


Maksudnya : "Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris simati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut (yang tidak dilarang Syarak) itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Al-Sonhaji berkata: “Ayat ini mulanya diturunkan kerana suatu peristiwa iaitu: Ada seorang lelaki bernama Hakim bin Harith telah meninggalkan negerinya iaitu Taif menuju ke Madinah. Dia ada membawa bersamanya dua orang ibu bapa, seorang isteri dan beberapa orang anak. Kemudian orang itu meninggal dunia dan beritanya terus disampaikan kepada Nabi s.a.w. Di atas kematiannya itu turunlah ayat ini, lalu baginda membahagikan harta warisannya kepada kedua ibu bapanya dan anaknya, sedang isterinya tidak diberi warisan apa-apa. Tetapi baginda menyuruh memberikan nafkah dari harta peninggalan si mati itu yang mencakupi baginya selama setahun”.

Al-Baghawi berpendapat: “Allah s.w.t telah menasakhkan nafkah tahunan dengan ayat mirath (pusaka) kepada satu perempat untuk isteri atau satu perlapan. Begitu juga dinasakhkan idah setahun dengan empat bulan 10 hari.

Begitulah hukum yang telah dijalankan pada permulaan Islam. Jika seseorang itu mati, jandanya hendaklah beridah selama setahun. Haram ahli waris suami mengeluarkannya dari rumah sebelum cukup masa setahun, dan perbelanjaan bagi nafkah dan tempat tinggalnya selama setahun itu tertanggung atas ahli waris suami, yang diambil dari harta peninggalannya. Dengan demikian bererti janda itu tidak berhak mendapat warisan hanya nafkah setahun sahaja.”

Dalam pada itu janda tersebut boleh memilih antara dua perkara :-
1) Menunggu selama setahun dengan mendapat nafkah dan tempat tinggal.
2) Atau ia boleh keluar. Bermakna, tidak perlu menunggu di rumah suaminya hingga setahun.
Tetapi dengan sebab keluarnya itu, gugurlah pula nafkah dan tempat tinggal untuknya, dan ahli waris suaminya tidak menanggung apa-apa.

Dengan adanya peraturan yang sedemikian ini, adalah menjadi kewajipan kepada seorang suami sebelum meninggal dunia membuat wasiat yang sedemikian, iaitu untuk memberikan jandanya kegembiraan atau saguhati yang berupa nafkah, pakaian dan tempat tinggal selama setahun dan tidak mengeluarkannya dari rumahnya.

Dapatlah disimpulkan bahawa kita semua terutamanya lelaki @ suami @ bapa hendaklah siap sediakan keperluan seperti berikut :-
1) Jika mempunyai rumah pastikan mempunyai MRTA @ insuran supaya keluarga yang ditinggalkan dapat menetap dengan aman tanpa perlu membayar hutang. Kalau boleh buat loan satu nama sahaja iaitu atas nama suami sahaja bukan "joint income". Bagi yang menyewa, sediakan duit sewa sekurang-kurangnya setahun bagi memberi persiapan kepada isteri untuk "survive" selepas itu.
2) Menulis wasiat atas semua harta walaupun ketika muda seperti tanah dan lain-lain kerana kita tak tahu bila ajal kita.
3) Meninggalkan pendapatan bulanan kepada isteri sekurang-kurangnya setahun dengan mengambil Takaful nyawa. Contoh : RM36,000 manfaat kematian untuk pendapatan RM3,000.
4) Meninggalkan duit yang secukupnya untuk membayar hutang jika mati seperti PTPTN, Personal Loan, Kereta dan lain-lain kerana hutang tersebut akan ditanggung oleh anak dan isterinya nanti. Mingkin untuk Personal Loan, Kereta dan sebagainya sekarang  kebanyakannya disyaratkan membeli insuran dengan bank yang menyediakan kemudahan pinjaman tersebut tetapi anda mungkin lupa tentang loan dengan PTPTN dimana ia tidak menyediakan polisi insuran ketika kita ambil dahulu termasuklah saya....

Sekian dari saya di hari jumaat yang mulia ini...